Monday, July 15, 2013

WSC 2013 Bukti Tenaga Kerja Mahir Negara Setanding Negara Maju - Ismail

PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Kejayaan peserta negara meraih sembilan pingat kecemerlangan dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2013 membuktikan negara mempunyai tenaga kerja mahir setanding dengan negara maju. Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib berkata kepakaran 14 pelajar yang menyumbang kepada kejayaan itu perlu digunakan dengan sebaiknya dalam meningkatkan keupayaan tenaga kerja mahir negara.

Beliau berkata pertandingan yang disertai 54 negara di Leipzig, Jerman dari 3 hingga 6 Julai lalu telah mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi awam dan swasta sehingga membawa kepada kejayaan ini.

"Sememangnya penajaan dari pihak industri dan swasta dalam bentuk kemahiran dan kepakaran peralatan dan teknologi, kewangan amat di perlukan untuk kontinjen kita membuat persediaan ke sana," kata beliau dalam ucapannya di Majlis Resepsi Kontinjen Negara WSC 2013 di sini, Rabu.

Beliau juga berharap lebih ramai pihak tampil untuk bekerjasama dalam persiapan peserta negara ke pertandingan edisi akan datang di Sao Paulo, Brazil pada 2015.

Antara bidang kemahiran yang disertai Malaysia pada pertandingan itu ialah masakan, perkhidmatan restoran, teknologi fesyen dan penyejukbekuan serta penyamanan udara, pemanasan dan pemaipan, sistem rangkaian IT, kimpalan dan pemasangan elektrik.

WSC 2013 disertai hampir 1,024 belia berumur 22 tahun ke bawah dari 54 negara dalam 46 bidang kemahiran yang dipertandingkan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
hostgator coupon