Wednesday, November 23, 2011

Mengarusperdanakan Latihan Kemahiran.. Tanggungjawab Siapa??

Negara yang memiliki peratusan besar tenaga mahir (Skills Workers) dan berpengetahuan (K-Workers) akan mempunyai kelebihan berbanding negara-negara lain dari sudut ekonomi. Perubahan dan cabaran yang dibawa oleh proses globalisasi menjadikan pekerja mahir antara aset penting dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan mentransformasikan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan pada 21 September 2010 lalu.


Sehubungan ini, tenaga pengajar kemahiran perlu menjiwai peranan penting mereka dalam usaha memenuhi matlamat mengarusperdanakan latihan kemahiran sebagai antara bidang keberhasilan utama Negara.  Rakyat Malaysia khususnya tenaga kerja pula perlu terus memajukan diri dan berusaha meningkatkan kemahiran diri kerana kemahiran yang diperlukan oleh Negara sentiasa berubah dan berkembang.  

Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah merangka stratergi dan program bagi menjana tenaga kerja dinamik secara berterusan menerusi pelbagai program latihan kemahiran seperti Persijilan Kemahiran Malaysia (5 tahap persijilan berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan, NOSS), Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), Latihan Sangkutan Industri (LSI), Program Latihan COACH Industri, kursus-kursus kemahiran jangka pendek (Modular dan Customised) yang dirangka bagi memenuhi keperluan Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT) dan sebagainya. 


Program-program latihan ini sentiasa disemak semula bagi memenuhi keperluan majikan/industri dan juga selaras stratergi pembangunan Kerajaan.  Program-program ini juga sentiasa dipantau untuk memastikan bahawa kandungan kursus yang ditawarkan selari dengan kehendak pasaran. Sehingga September 2011, sejumlah 349 Pusat Bertauliah (PB) Awam dan 645 Pusat Bertauliah Swasta menawarkan program latihan kemahiran ini tertakluk kepada pengkhususan tahap dan bidang kemahiran di PB berkenaan.

Kerajaan juga menerusi Tabung Pembangunan Kemahiran telah menyediakan sokongan kewangan dalam bentuk pinjaman, tajaan dan sumbangan kepada pekerja-pekerja daripada pelbagai sektor perindustrian bagi menggalakkan tenaga kerja meningkatkan kemahiran menerusi latihan yang bersesuaian secara berterusan.

Terkini menerusi pembentangan Bajet 2012, sejumlah RM320 juta diperuntukkan khusus untuk melengkapkan generasi muda Negara dengan pelbagai aktiviti latihan dan kemahiran. Ini menunjukkan usaha berterusan dan konsisten telah dan sedang dilaksanakan ke arah mengarusperdanakan latihan kemahiran.  Untuk menjadikan matlamat ini satu realiti semua pihak khususnya tenaga pengajar kemahiran Negara perlu menjalankan tugas dengan penuh komited dan bertanggung-jawab bagi membolehkan Malaysia terus berdaya bersaing setanding dengan negara-negara maju yang lain.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
hostgator coupon