Wednesday, November 23, 2011

CIAST Menawarkan Tenaga Pengajar Kemahiran Percuma Menerusi Latihan Internship

Latihan Internship merupakan antara komponen latihan yang wajib dijalani oleh peserta kursus Vocational Training Officer (VTO) bagi melayakkan mereka dianugerahkan persijilan berkenaan seterusnya bergelar tenaga pengajar kemahiran. Tempoh internship selama 6 bulan (720 jam) memberi peluang kepada intern (pengajar pelatih) mempraktikkan segala kemahiran yang dipelajari sepanjang 3 bulan (360 jam) di CIAST. Pengalaman sebenar mengajar di Pusat Bertauliah dengan bimbingan dan pemantauan berterusan dari Penyelia Internship yang berkelayakan mampu menyediakan persekitaran yang menggalakkan intern berkembang dan membina keyakinan diri. 

Hubungan kerjasama antara CIAST dengan Pusat Bertauliah Awam dan Swasta seluruh Negara telah mula terjalin seawal April 2008 lagi. CIAST menyalurkan intern dan graduan VTO kepada Pusat Bertauliah yang berkelayakan dan memerlukan.  

Pusat Bertauliah pula memberi peluang kepada intern mengajar/melatih pelajar mereka dan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada intern yang berpotensi dan berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang.

Benar! CIAST menawarkan tenaga pengajar kemahiran percuma kepada Pusat Bertauliah menerusi latihan internship.  Ini kerana sepanjang tempoh internship,  intern diwajibkan mengajar sekurang-kurangnya 300 jam dalam bidang kemahiran mereka. Selain dari mengajar, intern perlu dilibatkan dalam aktiviti dan tugas-tugas lain yang sesuai bagi membina kemahiran generik berkaitan kerja di Pusat Bertauliah.  Khidmat mereka ini tidak wajib dibayar oleh Pusat Bertauliah kerana intern tetap menerima elaun dari CIAST untuk keseluruhan tempoh latihan program VTO ini . Namun demikian, sebahagian besar Pusat Bertauliah yang bekerjasama dengan CIAST tetap menyediakan elaun dan kemudahan-kemudahan lain kepada intern sebagai saguhati dan motivasi bagi membantu intern menjalani latihan dengan selesa. Sokongan dari Pusat Bertauliah ini menjadikan intern dan graduan VTO CIAST seperti ‘pisang goreng panas’ di petang hari.  

Sistem penilaian latihan internship yang menyeluruh melibatkan Pegawai Penilai dari CIAST, Personel/Penyelia Internship di Pusat Bertauliah dan Pegawai Pengesah Luaran yang berpengalaman dan dilantik oleh  JPK dapat memastikan pemegang Sijil VTO ini benar-benar berketrampilan sebagai tenaga pengajar sepanjang pelaksanaan program latihan kemahiran.  Kajian menunjukkan hampir  90% intern CIAST ditawarkan sebagai tenaga pengajar di Pusat Bertauliah Swasta seluruh Negara setelah tamat menjalani latihan. 

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
hostgator coupon