Tuesday, July 17, 2012

76 Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Diiktiraf Cemerlang

PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Sebanyak 76 daripada 836 Pusat Bertauliah (PB) yang menguruskan program latihan kemahiran di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) mendapat penarafan cemerlang bagi sekurang-kurangnya satu program dilaksanakan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata daripada 4,369 program bertauliah yang ditawarkan PB, 728 program diiktiraf dalam kategori cemerlang, 1,289 program sangat baik, 1,140 program baik dan 503 program tahap memuaskan.


Manakala 408 program pula mendapat penarafan tahap lemah serta 285 program tidak dinilai kerana program tersebut belum dimulakan.


"Ini merupakan permulaan. Kita berharap dalam jangka panjang semua program akan mendapat sekurang-kurangnya tahap baik. Kita tidak mahu tahap memuaskan atau lemah. Saya yakin kita boleh mencapainya pada masa akan datang," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua Eksekutif Bertauliah 2012 anjuran JPK, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah JPK Dr Pang Chau Leong.


Dr Subramaniam berkata penarafan PB yang dilaksanakan setiap dua tahun sekali adalah memastikan program yang dikendalikan memenuhi keperluan industri serta kepentingan negara dan meletakkan pendidikan kemahiran sebagai pilihan utama pelajar di negara ini.


Katanya antara elemen yang diambil kira dalam proses pengauditan itu ialah tenaga pengajar berkualiti dan cara penyampaian berkesan, kurikulum yang digunakan, kemudahan infrastruktur sedia ada dan penerimaan pelajar oleh pihak industri termasuk peluang pekerjaan dan tawaran gaji.


Beliau berkata kaedah pengauditan itu amat berguna bagi menilai dan mengkategorikan tahap keupayaan setiap PB dalam melahirkan pekerja mahir yang diperlukan negara dan untuk menentukan peruntukan serta bantuan kerajaan.


Katanya kini enrolmen pelajar ke pusat latihan kemahiran tempatan hanya 10 peratus yang mana ia jauh lebih rendah berbanding negara Asean lain seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.


Kerajaan mensasar meningkatkan komposisi enrolmen latihan kemahiran sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang 2020.


Dalam pada itu, Dr Subramaniam kecewa kerana hampir RM500 juta wang Pembangunan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) belum dijelaskan oleh lepasan pelajar institut kemahiran di seluruh negara.


"Cuma 53 peratus pelajar yang bayar balik. Jumlah yang belum dikutip lebih kurang RM500 juta. Justeru setiap tahun kita harap peruntukan tambahan daripada kerajaan.


"Misalnya, tahun ini kerajaan beri RM100 juta bagi lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan tambahan RM100 juta bagi pekerja yang mengikuti kursus kemahiran. Ia tidak mencukupi," katanya.


Beliau berkata kementerian bercadang mengemukakan kepada kerajaan satu modul baru seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) agar institusi terlibat dapat merangka program pembangunan jangka panjang tanpa sebarang tekanan kewangan.


Pada majlis itu, Dr Subramaniam turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPK dengan KRU Bros Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mewakili organisasi utama dalam sub sektor Media & Hiburan dan QT Hightech Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam membaik pulih, mengubah suai serta mengkonfigurasi peralatan/mesin pembuatan dan fabrikasi wafer semikonduktor.


Selain itu, JPK juga mengadakan MoU dengan Communications Convergence Professional Society (CCPS), sebuah pertubuhan yang diwakili pengamal dan syarikat utama dalam bidang telekomunikasi dan rangkaian.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
hostgator coupon